Banyak ayat di dalam Al Quran selain ayat An Nahl : 14 berikut yang menggalakkan menggunakan perhiasan yang diberikan oleh Allah sama ada yang terdapat di lautan atau di daratan.
Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur. An Nahl –14
Allah sukakan kecantikan dan seterusnya menggalakkan umatnya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah seperti ayat 31 surah Al A’raaf.
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Manusia pun sentiasa sukakan sesuatu yang cantik. Nak isteri, isteri yang cantik, nak beli rumah, rumah yang cantik, nak beli kereta, kereta yang cantik, sehinggakan ayam jantan cuba memperagakan bulu dan badannya yang cantik untuk memikat ayam betina kerana ia tahu bahawa ayam betina sukakan kecantikan.
Allah menciptakan berbagai makanan untuk manusia tetapi adakah semua makanan boleh dimakan ? Begitulah juga dengan Allah sukakan yang cantik dan menggalakkan umatnya berhias termasuk lah wanita tetapi wanita tidak boleh menghias diri sewenang-wenang untuk tatapan semua orang. Dengan itu Allah telah menurunkan An Nuur ayat 31 berikut untuk dijadikan panduan sewajarnya untuk wanita berhias.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Apa yang boleh dirumuskan dari ayat tersebut ialah:
1. Tidak dibenarkan perempuan memandang benda-benda yang haram seperti aurat lelaki dll.
2. Perempuan perlu melabuhkan tudung dari kepala untuk menutup leher dan belahan leher bajunya.
3. Perhiasan wanita tidak boleh ditunjukkan kepada orang lain kecuali :
a. Suami
b. Ibu bapa dan ibu bapa mertua.
c. Anak dan anak tiri.
d. Adik beradik
e. Anak saudara dari adik beradik mereka (bukan anak saudara dari adik beradik suami)
f. Hamba lelaki
g. Orang gaji lelaki yang di kasi atau sangat tua hingga tiada keinginan kepada perempuan.
h. Kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.
i. Memakai rantai kaki yang boleh menghasilkan bunyi seperti ada loceng sehingga diketahui orang lain bahawa wanita ini ada memakai barang perhiasan.
Mengapakah kini ramai orang perempuan sering diganggu sama ada di pejabat, pusat membeli belah, di simpang jalan atau di mana jua ? Wanita yang diganggu sering menyalahkan orang lelakilah yang gatal dan miang suka mengganggu orang perempuan tetapi mereka tak sedar janji ALLAH seperti dalam surah Al Ahzab ayat 59.
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dari ayat tersebut bolehlah dibuat rumusan bahawa seandainya wanita keluar dari rumah tanpa melabuhkan pakaiannya untuk menutup aurat, sudah pasti mereka akan diganggu oleh orang lelaki seperti yang dinyatakan Allah dalam surah tersebut.
Manusia bebas memilih (samada hendak keluar rumah menutup aurat atau tidak) tetapi ALLAH berhak memberikan balasan yang setimpal. Kalau keluar rumah menutup aurat dengan sempurna ALLAH akan melindungi wanita tersebut dari gangguan lelaki tetapi kalau hendak juga keluar rumah tanpa menutup aurat maka balasan dari Allah ialah gangguan dari lelaki.
Marilah kita lihat satu lagi ayat Allah yang menjelaskan Allah akan membalas setimpal dengan perbuatan kita. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa ada kalanya lelaki yang jahat menaruh keinginan untuk mengganggu wanita ? Mari kita perhatikan surah Al Ahzab ayat 32.
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Ayat diatas jelas menyatakan bahawa kalau seorang wanita berkata-kata dengan cara yang mengada-ngada, lembut manja, atau miang menggatal, sudah pastilah akan timbul keinginan pada setiap lelaki samada yang baik apatah lagi yang jahat untuk menggangu wanita tersebut. Seandainya gangguan lelaki tersebut berbalas seperti yang dikehendaki olehnya, sudah pasti lelaki tersebut menyangka bahawa perempuan tersebut memberikan respon yang sesuai dan lelaki ini pasti akan mengganggu terus menerus hingga hajat dihatinya tercapai. Allah sahajalah dan kebanyakan lelaki memang tahu apa yang dihajati oleh lelaki apabila mereka mengganggu perempuan.
No comments:
Post a Comment