Pages

Wednesday, August 3, 2011

Kisah biawak makan orang



Biawak komodo memiliki gigi setajam jerung dan racun berbisa yang mampu membunuh manusia dalam tempoh satu jam selepas digigit.
Bagaimanapun, penduduk kampung yang sudah hidup bersama biawak terbesar dunia itu sejak berkurun lamanya tidak gentar akannya, sehinggalah biawak itu menyerang mereka.
Kisah itu tersebar dengan cepat merentasi kepulauan tropika di selatan Indonesia, satu-satunya tempat reptilia terancam itu dapat ditemui secara liar. Dua orang terbunuh sejak 2007 - seorang kanak-kanak lelaki dan seorang nelayan - dan ramai lagi yang cedera parah setelah diserang tanpa sebab.
Serangan biawak komodo masih jarang kedengaran, kata pakar. Tetapi perasaan takut sudah meliputi perkampungan nelayan itu, diiringi persoalan tentang cara terbaik untuk hidup bersama biawak itu pada masa akan datang.

PAGAR kayu yang didirikan penduduk belum dapat menghalang serangan biawak komodo.

Main, 46, seorang renjer, sedang membuat kertas kerja apabila seekor biawak menyusup menaiki tangga pondok kayu yang didiaminya di Taman Negara Komodo dan menerkam kakinya yang tergantung di bawah meja tempat dia bekerja.
Apabila renjer itu cuba untuk mengopek rahang haiwan itu, tangannya pula yang menjadi mangsa gigitan.
“Saya sangka saya akan mati. Saya sudah menghabiskan separuh hayat saya bekerja di samping biawak-biawak komodo itu dan tidak pernah berdepan dengan kejadian seperti itu,” kata Main sambil menunjukkan luka yang berjahit 55 kali di kakinya dan masih bengkak selama tiga bulan.
“Nasib baik kawan-kawan mendengar jeritan saya dan sempat menghantar saya ke hospital tepat pada masanya.”
Komodo membesar sehingga tiga meter panjang dan 70 kilogram berat. Kesemua 2,500 yang dianggarkan masih hidup di dalam hutan dapat ditemui di dalam kawasan seluar 1,810 kilometer persegi di Taman Negara Komodo, dengan sebahagian besarnya di dua kepulauan terbesarnya iaitu Komodo dan Rinca.
Berlari 30 km sejam
Sejinak mana di mata ramai, terutama ketika ia berehat di bawah pepohon dan merenung laut dari atas pasir putih pantai, spesies ini dapat bergerak selaju 30 kilometer sejam dan boleh membunuh.
Apabila mereka menangkap mangsa, mereka akan membebaskan racun berbisa melalui gigitan, lapor sebuah kajian baru yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Penulis laporan itu menolak teori bahawa mangsa mati berikutan keracunan darah yang disebabkan bakteria toksik di dalam mulut biawak itu.


RENJER Main, pernah digigit di tangan kiri.


Giginya yang tajam dan panjang merupakan senjata utama biawak-biawak itu, kata Bryan Fry dari Universiti Melbourne.
“Mereka meninggalkan luka yang amat dalam,” katanya. “Racun berbisa itu akan membuatkan luka itu terus berdarah dan kemudiannya merendahkan tekanan darah dan akhirnya hampir tidak sedarkan diri.”
Claudio Ciofi, yang bertugas dengan Jabatan Biologi dan Genetik Haiwan di Universiti Florence di Itali, berkata sekiranya komodo berasa lapar, haiwan itu mungkin tertarik untuk pergi ke arah perkampungan berdasarkan bau ikan kering atau masakan.
Legenda ‘puteri’ biawak
Sebuah legenda terkenal di sini ialah kisah seorang lelaki yang pernah berkahwin dengan seorang ‘puteri’ biawak. Anak kembar pasangan itu, seorang kanak-kanak manusia, Gerong, dan seekor biawak betina, Orah, terpisah sejak kecil.

Setelah Gerong meningkat remaja, dia terjumpa seekor raksasa yang kelihatan bengis di dalam hutan. Sebaik sahaja hendak melontar lembing ke arah haiwan itu, ibunya muncul dan mendedahkan bahawa mereka adik-beradik.
“Tetapi kenapa biawak itu boleh menjadi begitu agresif?,” kongsi Hajj Amin, 51, ketika bercerita kepada penduduk kampung.
“Mereka tidak pernah menyerang kita ketika kita berjalan seorang diri di dalam hutan sebelum ini, jauh sekali menyerang anak-anak kita,” tambah Amin.
Biawak itu memakan 80 peratus daripada berat badan mangsa dan boleh hidup tanpa makanan sehingga beberapa minggu.
Serangan pertama yang membuatkan penduduk kampung lebih berhati-hati berlaku dua tahun lalu apabila Mansyur, 8, dibaham sehingga mati ketika sedang membuang air besar di sebalik belukar di belakang pondok kayu tempat dia tinggal.
Sejak itu, orang ramai meminta untuk membina dinding konkrit setinggi dua meter tinggi di sekeliling kampung mereka. Namun, idea itu ditolak.
Dua bulan lalu, nelayan berumur 31 tahun, Muhamad Anwar, pula terbunuh selepas terpijak seekor biawak di dalam rumput ketika hendak menebang tebu.Sememangnya biawak komodo semakin menghantui penduduk pulau.

No comments:

Post a Comment